Kita berdabik dada mengatakan bahawa kadar kemiskinan di negara kita adalah
sekitar 0.6 peratus, dan miskin tegar telah pun terhapus. Syabas buat semua. Menurut statistik, isi
rumah yang berpendapatan kurang dari RM930 dikira miskin, dan kurang dari RM500
di kira miskin tegar.
Tetapi kemiskinan bukan sekadar isu nombor atau statistik yang
kadang-kadang menyembunyikan kepayahan sebenar kehidupan segelintir masyarakat.
Contoh mutakhir dapat dilihat di kampung-kampung yang rata-rata penduduknya
penoreh getah. Apa yang kami perhatikan di beberapa kawasan di Kedah baru-baru
ini hanya sebahagian contoh paling ketara. Kami berkunjung ke beberapa kampung
di Baling dan Padang Terap. Rata-rata penoreh getah di sana berpendapatan
kurang dari RM500 sebulan. Yang berpendapatan RM70 seminggu, ataupun RM10
sehari itu perkara biasa disebabkan kejatuhan harga getah ditambah pula dengan
musim kemarau.
Apalah sangat yang boleh dibeli dengan RM10 sehari, sekilo ikan kembong pun
sudah memcecah belasan ringgit. Makanan harian mereka hanyalah nasi dan telur.
Beras bukan lagi dibeli seperti warga kota iaitu secara berkampit. Tidak ubah
tetapi seperti zaman dahulu, mereka hanya mampu membeli sekilo beras setiap
kali ke kedai runcit. Telur bukan lagi dibeli sepapan, tetapi hanya beberapa
butir. Ikan dan daging pula sudah menjadi sajian mewah.
Tidak hairanlah, ramai yang jatuh sakit, baik yang tua maupun yang muda. Anak-anak
mereka ada yang bergilir-gilir ke sekolah. Manakan tidak, jika pendapatan
sehari hanyalah RM10, manakan mampu membiaya RM1 seorang sebagai tambang dan
wang saku untuk lima orang anak yang masih bersekolah?
Situasi ini
jauh berbeza dengan kehidupan segelintir rakyat negara ini. Di kala penoreh
getah di Kedah tidak mampu membeli ikan walaupun sekilo, pada masa yang sama
ada rakyat kita yang begitu boros berbelanja di serata dunia. Ada yang begitu
kaya-raya mengalahkan Raja Qarun. Ada pula di kalangan yang berkuasa baru-baru
ini membelanjakan RM3.3 juta untuk membeli barang mewah hanya di sebuah butik
barang kemas di Itali.
Apabila negara dilanda banjir besar
beberapa waktu yang lalu, ketika mangsa
banjir hanya bergantung kepada air botol dan biskut kering, bayi terbiar tanpa
kain lampin dan terpaksa tinggal di dewan sekolah, ada juga segelintir rakyat
kita terutamanya keluarga pemerintah yang bersuka-ria di luar negara. Bagi golongan
kenamaan dengan kekayaan melimpah ini, tidak ada yang luar biasa sewaktu menaburkan
setengah juta ringgit hanya di sebuah gedung berjenama mewah.
Memang sekarang ini Malaysia
telah menjadi negara antara dua darjat. Di sebalik tawa-ria golongan kaya yang
hidup bagaikan di syurga dunia, ramai sekali rakyat yang menangis sedu dan
termangu mengenangkan masa hadapan yang kian suram dek kesempitan hidup.
Kita cuba diyakinkan bahawa kenaikan
kos hidup bukanlah gara-gara GST, tapi konon kerana rakyat tidak ada pendidikan
tinggi untuk mengaut pendapatan lebih. Ada pula yang menunding jari dan lantang
mengecam si penoreh getah dan si miskin sebagai pemalas. Tuduhan ini tidak benar
sama sekali.
Penoreh getah berhempas pulas sepanjang hidup. Sebelum fajar menyinsing,
mereka telah pun bersedia ke ladang. Pulang dari menoreh, ada yang ke hutan mencari
rotan dan burung, ada juga berpusing satu kampung mencari cari kerja ‘ikut dan’ bak kata orang Kedah. Namun,
walaupun berikhtiar dan berusaha segiat mana pun, hidup mereka masih sukar. Berat
mata memandang, berat lagi bahu memikul. Di sebalik dari berkerut para ayah dan senyuman
para ibu, hati mereka menyimpan rasa risau mengenangkan teka-teki nasib anak
cucu.
Apa yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu mereka? Banyak sekali
tentunya jika ikhlas.
Pertama, kita perlukan ‘stop-gap
measure’ secepat mungkin. Kerajaan haruslah naikkan harga minimum untuk
getah buat sementara waktu. Ini bukan perkara baru, bahkan telah berkali-kali kita
lakukan.
Kedua, pastikan kesemua anak-anak penoreh ini mendapat bantuan makanan tambahan
di sekolah beserta bantuan kewangan. Ini bermakna dana
Kumpulan Wang Amanah Pelajar
Miskin (KWAPM) yang dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja pada bajet tahun ini haruslah dikembalikan kepada jumlah asalnya. Bantuan makanan dan kewangan penting agar anak-anak ini dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain tanpa sebarang beban dan gangguan.
Miskin (KWAPM) yang dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja pada bajet tahun ini haruslah dikembalikan kepada jumlah asalnya. Bantuan makanan dan kewangan penting agar anak-anak ini dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain tanpa sebarang beban dan gangguan.
Alasan bahawa negara ini tidak mempunyai wang untuk
membantu mereka adalah tidak berasas.
Kalau RM100 juta wang yang dilesapkan oleh pegawai Kementerian Belia dan
Sukan digunakan untuk program bantuan makanan, ianya boleh membantu seramai
300,000 kanak-kanak tahun ini.
Bayangkan
jika hampir RM8 billion faedah yang dibayar oleh 1MDB untuk membayar hutangnya
digunakan untuk kanak-kanak dan golongan yang terpinggir ini. Mungkin tidak
akan ada lagi mereka yang hidup merempat di bumi bertuah ini.
Usah kita hanya menolong kelompok berada dan yang kaya-raya. Hulurkanlah
dulu bantuan kepada yang tersepit kehidupannya. Segolongan kecil yang kaya-raya
di negara ini (yang hanya membayar sedikit cukai) sering diberi segala peluang
dan kesempatan, manakala golongan pertengahan pula telah menikmati pelbagai kemudahan
dan bantuan. Terbaru mereka yang belum mempunyai rumah diberi subsidi RM30,000
seorang sekiranya membeli rumah berharga setengah juta. Nah, siapakah yang
mampu membeli rumah berharga sedemikian, yang kayakah atau yang miskin?
Pada masa yang sama, si miskin diperah membayar cukai yang tinggi, dan
hanya disuapkan bantuan BR1M sebanyak RM 250 setiap tiga bulan. Malah, sekotak susu
untuk anak kecil mereka juga turut dicukai.
Justeru, siapakah yang dimanjakan dan siapakah yang ditindas? Adakah ini
dinamakan keadilan sosial?
Kepada pemimpin negara, bersikap adillah kepada semua. Jenguk-jenguklah mereka
yang tidak mampu bersuara ini. Mereka juga rakyat negara kita. Jangan hanya ke
dewan-dewan di kampung menabur janji bagaikan melepaskan batuk di tangga bila
tiba musim menagih undi pilihanraya. Intailah ke dapur mereka dan pastikan samada
ianya masih berasap. Lihatlah periuk buruk dan belanga sumbing yang menyambung
nyawa mereka. Bersilalah di lantai yang usang di bawah atap yang bocor, dan
insaflah bahawa kita semua adalah saudara.
Kepada yang berpendidikan dan berpengaruh, usah sekadar diam membisu. Bangunlah
berteriak menentang penindasan oleh yang memerintah dan berkuasa ke atas mereka
yang lemah dan miskin.
Mungkin sajak Otto Rene Castillo ‘Cendikiawan
Tanpa Pendirian’ yang kami singkatkan sedikit boleh menyedarkan nurani kalian.
Suatu hari nanti
Cendiakiawan tanpa pendirian dari tanahairku
Akan dipersoalkan
oleh rakyat kita yang terdaif
Mereka akan ditanya
Tentang peranan mereka
Ketika bangsa mereka mati perlahan lahan
Semacam api comel yang kecil dan sepi
Tiada siapa yang ingin bertanya tentang gaya pakaian mereka
Tiada siapa yang pedulikan pengetahuan kewangan mereka yang hebat
Pada hari itu orang-orang biasa akan datang
Mereka yang tidak punya tempat di halaman-halaman buku dan puisi
dan mereka akan bertanya:
“Apa yang kau lakukan saat rakyat miskin menderita,
Ketika kasih sayang dan nyawa hangus dalam diri mereka?”
Cendikiawan tanpa pendirian
dari tanahairku yang indah
kalian tak akan mampu menjawabnya
Burung nazar sunyi
Akan makan ususmu
Penderitaan mu akan sedut jiwamu
Dan kau akan membisu
Kerana malu
Nota : Artikel diatas telah disiarkan di Sinar Harian pada 17hb April 2016, mukasurat 18, dengan sedikit penyuntingan.
Sorang tu sedekah terima berbillion. Padahal sedekah dalam Quran cakap untuk fakir miskin dan asnaf lain. Najib tu kira asnaf ke? Menyebarkan kerja fasiq adalah! Berambuslah wahai najib
ReplyDelete