Sunday, March 20, 2016

Ada ulama kita bersekongkol dengan pemerintah menghalalkan mencuri dan menipu?

Minggu lalu, kami menunaikan Solat Jumaat di salah sebuah masjid berdekatan dengan hospital. Selalunya kami ke ISTAC, kerana khutbahnya progresif, menawan, dan dibaca tanpa teks. Tetapi oleh kerana ada beberapa kes kecemasan, nampak gaya kami sekali lagi berkunjung ke Masjid Bangsar. Maka dua minggu berturut-turutlah kami disajikan dengan khutbah Jumaat berteks.



Dan untuk kali yang kedua juga kami terkejut. Khutbah kali ini tidak banyak berbeza dengan yang lepas, di mana Jemaah diseru supaya mentaati pemimpin negara secara total.

Apakah ulangan tema ini adalah kerana sebilangan besar jemaah solat Jumaat dua minggu lalu belum merasa insaf dengan khutbah bertajuk ‘Ujian Sebuah Kesetiaan’ karangan ustaz-ustaz JAKIM yang syumul?

Mungkin jawapannya tidak, kerana khutbah yang berbunyi hampir sama sekali lagi dilaungkan di beberapa masjid di seluruh Wilayah Jumaat lepas.

Dengan mengutip ayat Al-Quran di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59, jemaah diseru sekali lagi untuk mentaati pucuk pimpinan negara:

Biarlah kami petik sebahagian dari khubah tersebut untuk makluman pembaca.

Seperti contoh, kita diingatkan bahawa “Mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam (Ulil Amri) merupakan salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, mereka wajib melaksanakan amanah menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara demi menjaga urusan agama dan dunia.”

Para ulamak yang warak dan yang sepatutnya setia berpegang kepada kebenaran juga menyeru umat Islam di negara ini agar berlaku adil kepada Ulil Amri dengan menurut perintah mereka samada kita suka atau tidak:
Kami petik lagi pesanan mereka: “Sebenarnya rakyat pun ada tanggungjawabnya terhadap pemerintah. Sebagaimana rakyat berhak mendapat keadilan dari pemerintah, pemerintah juga berhak mendapat keadilan dari rakyatnya. Oleh itu, sebagai rakyat kita wajib memahami tanggungjawab dan menghormati mereka, bahkan menyokong apa yang telah dirancang.”

Yang paling memeranjatkan apabila mesej diatas diakhiri dengan ugutan berikut:

Tuntasnya, sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah SWT akan memuliakannya pada hari kiamat, manakala mereka yang tidak memuliakannya, maka Allah SWT akan menghinanya pada hari kiamat kelak.”

Walau pun kami sebagai makmum merasa insaf dan kini ingin membeli secara pukal baju-T dengan kata-kata I LOVE PM, kami juga kesal kerana khutbah hari dua minggu ini terlalu pendek dan tertinggal menyatakan beberapa hal-hal pokok tentang sosok pemimpin yang wajib ditaati.

Contohnya, jika Ulil Amri di Malaysia ini terlibat dengan fasad iaitu tidak jujur, menyalahguna kuasa, pecah amanah, atau lebih parah lagi mengambil atau memberi rasuah, apakah rakyat masih wajar memuliakan mereka?

Kami yakin Majlis Agama Islam Wilayah di bawah JAKIM dan Menteri Jamil Khir ingin mengupas lebih lanjut jika khutbah dipanjangkan demi memupuk kefahaman Islam sebenar di jiwa dan minda umatnya di Malaysia.

Pastinya para ulamak JAKIM sebenarnya ingin memetik Surah Al-Anfal ayat 27 yang dengan tegas mengecam individu Islam yang pecah amanah sebagai mengkhianati Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Malah ulama-ulama yang diamanahkan Allah sebagai penjaga syiar Islam juga sebenarnya ingin mengatakan bahawa, tak kira samada seseorang itu pemimpin atau rakyat, Islam dan undang-undang Syariah tidak bertolak ansur dengan kesalahan moral seperti rasuah, seperti yang ditegaskan di dalam Surah Al-Baqarah , Ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Sebagai contoh Ulil Amri yang tidak wajar ditaati kerana berlaku zalim, JAKIM juga sebenarnya ingin berkongsi Ayat 4 dari Surah Al-Qasas yang berbunyi:

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”

Akhir sekali, JAKIM juga ingin mengatakan bahawa bapa yang mulia tidak menjanjikan anaknya akan turut mulia dan dimuliakan. Pedoman Al-Quran adalah jelas, doa Nabi Ibrahim agar Allah memuliakan keturunannya sebagai Imam atau pemimpin juga hanya diterima dengan bersyarat, iaitu sekiranya si anak tidak melakukan kezaliman seperti mana firman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 124:

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

Kalaulah ayat-ayat Quran di atas dengan ikhlas dapat dikongsi di dalam teks khutbah, nescaya baju-T dengan slogan I LOVE PM akan menjadi satu fenomena ‘terlajak laris’.

Tetapi hakikatnya ia tidak dikongsi. Inilah bencananya apabila agama dijual beli. Mereka yang sepatutnya menegakkan kebenaran bukan hanya berdiam diri, tetapi secara tidak langsung bersekongkol dengan pemerintah yang zalim. Mereka ini bukan saja merosakkan kesucian ajaran Islam malah mendorong umat untuk tersungkur di pintu syurga.

Di mana amaran keras para ulamak negara ketika negara dilanda krisis kepimpinan yang amat kronik?

Di mana suara lantang al-fadzil al-ustaz apabila pemimpin mencuri dan menipu?

Di mana tok-tok guru apabila Tabung Haji tidak diurus dengan cermat sehingga mejejaskan simpanan orang kampung, para nelayan dan pesawah miskin?

Di mana sindiran pedas pendakwah-pendakwah selebriti apabila pemegang amanah wang anak yatim pergi berjoli serata dunia dengan mewahnya dan membeli peralatan golf?

Bertaubatlah, sebelum terlambat.


Wallahualam.

6 comments:

  1. AlhamduliLlah .....satu komentar yg tepat Dan bernas. Malang bagi umat jika ulama Dan agamawan pun tidak amanah kpd Allah Dan Rasul ...

    ReplyDelete
  2. aslmkm admin,jgn la di marah seolah semua ulama kt mlsia ni dah x guna,ulama di mlsia ni ramai yg hebat2,yg menegur kezaliman pn ramai cuma kita yg x nmpak.klu nak bukti blh tengok kat youtube..sy pn ada pk mcm admin,mana ulama kita??adakah semua dah dibeli??,sbenarnya ulama kita dan pendakwah kita pn ada menegur cuma kita x nmpk sbb mreka ni x dpt guna tv dan surat khaba,tp apapun lambat laun..kebenaran ttp akan menang..ada satu kisah dongeng..katanya mlsia ni antara negara yg allah syg sbb ramai walinya berada disini..ntah ya ntah x..apapun truskan usaha tuan tanah..tuan mmg seorg pejuang,slm hormat dari sy..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tuan Tanah Encik Awang Mat Putih sedang bercakap pasal
      ULAMAK JAKIM yang menjaga dosa pahla umat Malaysia.
      Ulamak Jakim cuma nampak orang berkhlawat, pemimpin raswah
      dan menyalahguna kuasa dan wang rakyat, patut ditaati.
      Inilah Ulamak yang menjaga periok nasik lebih daripada
      amanah Allah.

      Delete
  3. Saya sangat bersetuju dengan Tuan..peranan ulama membimbing pemimpin ke jalan di redhai ALLAH SWT..di harap jangan jadi sebaliknya...

    ReplyDelete
  4. Saya sangat bersetuju dengan Tuan..peranan ulama membimbing pemimpin ke jalan di redhai ALLAH SWT..di harap jangan jadi sebaliknya...

    ReplyDelete
  5. Saya sangat bersetuju dengan Tuan..peranan ulama membimbing pemimpin ke jalan di redhai ALLAH SWT..di harap jangan jadi sebaliknya...

    ReplyDelete