Saturday, July 2, 2016

Surat dari Majistret

Pada senja itu
Tangan ibu menyerahkan aku sesuatu
Katanya ‘nak, surat ini mungkin bikin hatimu susah’.

Aku sambut tangan tua itu
Ternyata titipan pak Magistret
Negara ini perlu 300 ratus ringgit
Pada Seksyen 97 aku telah berdosa
Setelah kupacu mobilku 140 km sejam
Pada kilometer 370 di suatu lebuhraya suram
Kerana isteriku sakit mahu melahirkan.

Kataku ‘ibu, setiap salahlaku pasti ada hukumnya’
Akan kubayar wang pada penguasa
Kerana kita bukannya bangsawan atau politikus
Apatah lagi Yang Berhormat atau Yang Berbahagia
Yang juga tidak tersentuh hukum Negara.

Ibu bertanya ‘nak, apakah kamu punya wang’
Bukankah gajimu habis ditelan inflasi
Untuk biaya anak-anakmu dan juga GST
Kalau kau mau, rela aku membantumu
Dari simpananku di Tabung Haji
Ianya lebih mulia dari dilabur di 1MDB.

Ibu oh Ibu aku berkata
Malu sekali aku dengan tanyamu itu
Memang benar bebanku kini berat
Tapi toh aku masih punya kudrat
Dari hutang ‘Along’ pasti akan mengalir
300 ringgit pada perbendaharaan negeri
Setelah kad ATM bankku dijaga olehnya

  
Apalah 300 ringgit jika dibandingkan
Diberkati kerajaan UMNO untuk menumpang
Di Negara ini Negara Keramat
Nah rakyat mesti bersyukur dengan rahmat
Kurnia pucuk pimpinan Negara yang berkat
Setelah menjarah wang rakyat lima dekad.

Walau gajiku habis ditelan inflasi
Tapi ku perlu wangnya ‘along’ sebagai pendahuluan
Gajiku habis ditelan inflasi, GST dan cukai pendapatan.


Yang sering budiman dengan orang sepertiku
Lainlah kalau kita golongan bangsawan
Atau...

 Sepucuk surat dari Seksyen 97 Kanun
Kereta hitamku, dipandu laju

oleh Sheikh Awang Belanga

Wednesday, April 20, 2016

Bagaikan Antara Dua Darjat

Coretan ini bukannya mengenai kisah cinta terlarang di antara Ghazali, cikgu muzik dengan Tengku Zaleha, anak golongan bangsawan. Tidak. Ianya juga bukan cerita dongengan, tetapi realiti kehidupan pahit yang ditempuhi sebilangan rakyat negara ini. Ianya mengenai jurang di antara yang terpingggir dan yang senang-lenang, di antara yang bisu dan yang petah bermain kata, dan di antara yang miskin dan yang kaya lagi berkuasa.

Kita berdabik dada mengatakan bahawa kadar kemiskinan di negara kita adalah sekitar 0.6 peratus, dan miskin tegar telah pun terhapus.  Syabas buat semua. Menurut statistik, isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM930 dikira miskin, dan kurang dari RM500 di kira miskin tegar.

Tetapi kemiskinan bukan sekadar isu nombor atau statistik yang kadang-kadang menyembunyikan kepayahan sebenar kehidupan segelintir masyarakat.

Contoh mutakhir dapat dilihat di kampung-kampung yang rata-rata penduduknya penoreh getah. Apa yang kami perhatikan di beberapa kawasan di Kedah baru-baru ini hanya sebahagian contoh paling ketara. Kami berkunjung ke beberapa kampung di Baling dan Padang Terap. Rata-rata penoreh getah di sana berpendapatan kurang dari RM500 sebulan. Yang berpendapatan RM70 seminggu, ataupun RM10 sehari itu perkara biasa disebabkan kejatuhan harga getah ditambah pula dengan musim kemarau.

Apalah sangat yang boleh dibeli dengan RM10 sehari, sekilo ikan kembong pun sudah memcecah belasan ringgit. Makanan harian mereka hanyalah nasi dan telur. Beras bukan lagi dibeli seperti warga kota iaitu secara berkampit. Tidak ubah tetapi seperti zaman dahulu, mereka hanya mampu membeli sekilo beras setiap kali ke kedai runcit. Telur bukan lagi dibeli sepapan, tetapi hanya beberapa butir. Ikan dan daging pula sudah menjadi sajian mewah.

Tidak hairanlah, ramai yang jatuh sakit, baik yang tua maupun yang muda. Anak-anak mereka ada yang bergilir-gilir ke sekolah. Manakan tidak, jika pendapatan sehari hanyalah RM10, manakan mampu membiaya RM1 seorang sebagai tambang dan wang saku untuk lima orang anak yang masih bersekolah?

Situasi ini jauh berbeza dengan kehidupan segelintir rakyat negara ini. Di kala penoreh getah di Kedah tidak mampu membeli ikan walaupun sekilo, pada masa yang sama ada rakyat kita yang begitu boros berbelanja di serata dunia. Ada yang begitu kaya-raya mengalahkan Raja Qarun. Ada pula di kalangan yang berkuasa baru-baru ini membelanjakan RM3.3 juta untuk membeli barang mewah hanya di sebuah butik barang kemas di Itali.

Apabila negara dilanda banjir besar beberapa waktu yang lalu,  ketika mangsa banjir hanya bergantung kepada air botol dan biskut kering, bayi terbiar tanpa kain lampin dan terpaksa tinggal di dewan sekolah, ada juga segelintir rakyat kita terutamanya keluarga pemerintah yang bersuka-ria di luar negara. Bagi golongan kenamaan dengan kekayaan melimpah ini, tidak ada yang luar biasa sewaktu menaburkan setengah juta ringgit hanya di sebuah gedung berjenama mewah.

Memang sekarang ini Malaysia telah menjadi negara antara dua darjat. Di sebalik tawa-ria golongan kaya yang hidup bagaikan di syurga dunia, ramai sekali rakyat yang menangis sedu dan termangu mengenangkan masa hadapan yang kian suram dek kesempitan hidup.

Kita cuba diyakinkan bahawa kenaikan kos hidup bukanlah gara-gara GST, tapi  konon kerana rakyat tidak ada pendidikan tinggi untuk mengaut pendapatan lebih. Ada pula yang menunding jari dan lantang mengecam si penoreh getah dan si miskin sebagai pemalas. Tuduhan ini tidak benar sama sekali.

Penoreh getah berhempas pulas sepanjang hidup. Sebelum fajar menyinsing, mereka telah pun bersedia ke ladang. Pulang dari menoreh, ada yang ke hutan mencari rotan dan burung, ada juga berpusing satu kampung mencari cari kerja ‘ikut dan’ bak kata orang Kedah. Namun, walaupun berikhtiar dan berusaha segiat mana pun, hidup mereka masih sukar. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Di sebalik dari berkerut para ayah dan senyuman para ibu, hati mereka menyimpan rasa risau mengenangkan teka-teki nasib anak cucu.

Apa yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu mereka? Banyak sekali tentunya jika ikhlas.

Pertama, kita perlukan ‘stop-gap measure’ secepat mungkin. Kerajaan haruslah naikkan harga minimum untuk getah buat sementara waktu. Ini bukan perkara baru, bahkan telah berkali-kali kita lakukan.
Kedua, pastikan kesemua anak-anak penoreh ini mendapat bantuan makanan tambahan di sekolah beserta bantuan kewangan. Ini bermakna dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar 
Miskin (KWAPM) yang dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja pada bajet tahun ini haruslah dikembalikan kepada jumlah asalnya. Bantuan makanan dan kewangan penting agar anak-anak ini dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain tanpa sebarang beban dan gangguan.

Alasan bahawa negara ini tidak mempunyai wang untuk membantu mereka adalah tidak berasas. 

Kalau RM100 juta wang yang dilesapkan oleh pegawai Kementerian Belia dan Sukan digunakan untuk program bantuan makanan, ianya boleh membantu seramai 300,000 kanak-kanak tahun ini.  

Bayangkan jika hampir RM8 billion faedah yang dibayar oleh 1MDB untuk membayar hutangnya digunakan untuk kanak-kanak dan golongan yang terpinggir ini. Mungkin tidak akan ada lagi mereka yang hidup merempat di bumi bertuah ini.

Usah kita hanya menolong kelompok berada dan yang kaya-raya. Hulurkanlah dulu bantuan kepada yang tersepit kehidupannya. Segolongan kecil yang kaya-raya di negara ini (yang hanya membayar sedikit cukai) sering diberi segala peluang dan kesempatan, manakala golongan pertengahan pula telah menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan. Terbaru mereka yang belum mempunyai rumah diberi subsidi RM30,000 seorang sekiranya membeli rumah berharga setengah juta. Nah, siapakah yang mampu membeli rumah berharga sedemikian, yang kayakah atau yang miskin?

Pada masa yang sama, si miskin diperah membayar cukai yang tinggi, dan hanya disuapkan bantuan BR1M sebanyak RM 250 setiap tiga bulan. Malah, sekotak susu untuk anak kecil mereka juga turut dicukai.

Justeru, siapakah yang dimanjakan dan siapakah yang ditindas? Adakah ini dinamakan keadilan sosial?

Kepada pemimpin negara, bersikap adillah kepada semua. Jenguk-jenguklah mereka yang tidak mampu bersuara ini. Mereka juga rakyat negara kita. Jangan hanya ke dewan-dewan di kampung menabur janji bagaikan melepaskan batuk di tangga bila tiba musim menagih undi pilihanraya. Intailah ke dapur mereka dan pastikan samada ianya masih berasap. Lihatlah periuk buruk dan belanga sumbing yang menyambung nyawa mereka. Bersilalah di lantai yang usang di bawah atap yang bocor, dan insaflah bahawa kita semua adalah saudara.

Kepada yang berpendidikan dan berpengaruh, usah sekadar diam membisu. Bangunlah berteriak menentang penindasan oleh yang memerintah dan berkuasa ke atas mereka yang lemah dan miskin.

Mungkin sajak Otto Rene Castillo  ‘Cendikiawan Tanpa Pendirian’ yang kami singkatkan sedikit boleh menyedarkan nurani kalian.

Suatu hari nanti
Cendiakiawan tanpa pendirian dari tanahairku
Akan dipersoalkan
oleh rakyat kita yang terdaif
Mereka akan ditanya
Tentang peranan mereka
Ketika bangsa mereka mati perlahan lahan
Semacam api comel yang kecil dan sepi

Tiada siapa yang ingin bertanya tentang gaya pakaian mereka
Tiada siapa yang pedulikan pengetahuan kewangan mereka yang hebat

Pada hari itu orang-orang biasa akan datang
Mereka yang tidak punya tempat di halaman-halaman buku dan puisi
dan mereka akan bertanya:
“Apa yang kau lakukan saat rakyat miskin menderita,
Ketika kasih sayang dan nyawa hangus dalam diri mereka?”

Cendikiawan tanpa pendirian
dari tanahairku yang indah
kalian tak akan mampu menjawabnya

Burung nazar sunyi
Akan makan ususmu
Penderitaan mu akan sedut jiwamu
Dan kau akan membisu
Kerana malu


Nota : Artikel diatas telah disiarkan di Sinar Harian pada 17hb April 2016, mukasurat 18, dengan sedikit penyuntingan.

Wednesday, April 13, 2016

Negara makin mundur sejak Najib menjadi Perdana Menteri

Dua hari yang lepas, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan merangkap Penasihat 1MDB dengan bangganya mengisytharkan bahawa pelan ekonomi beliau berjaya, dan 'asas ekonomi Malaysia mampan'.  Syabas!


Ini antara hujah-hujah beliau
1. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) naik 50% 
2. 1.8 juta peluang pekerjaan diwujudkan
3. inflasi rendah
4. pasaran modal naik
5. Nilai ringgit tahun ini adalah yang terbaik di Asia

Tapi betul ke?

Mari kita lihat.

Pertama, pendapatan per kapita ( dalam US Dollar) telah JATUH sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Laporan terbaru BNM menunjukkan pendapatan per kapita rakyat Malaysia telah jatuh dari USD9508 pada tahun 2010 kepada USD9291 tahun lepas. Macam mana nak jadi negara maju? Najib kata ekonomi mengembang hampir 50% sejak beliau jadi Perdana Menteri, tapi BNM kata pendapatan per kapita rakyat jatuh! Baik tak payah ada economic growth kalau tidak memberi kesan positif kepada rakyat. Pertumbuhan untuk siapa sebenarnya?

Kedua, hutang negara makin meningkat. Hutang kerajaan telah naik dari RM408 billion pada tahun 2010 kepada RM627.5 bilion pada tahun lepas, atau dari 52.7% dari KDNK kepada hampir 55% dari KDNK pada tempoh yang sama. Adakah ini menjadi kebangaan kita? Siapa hendak membayarnya? 

Ketiga, inflasi rendah tapi hutang isi-rumah makin meningkat, dari 72% pada tahun 2010 kepada hampir 90% tahun lepas. Ini merupakan antara kadar yang tertinggi di rantau ini! Rakyat terpaksa berhutang untuk hidup. 

Ke-empat : ekonomi negara kata Najib naik 50% tapi gaji rakyat Malaysia tak naik banyak mana pun. Tahun 2011, gaji penengah rakyat Malaysia adalah RM1,340 sebulan. Tahun 2015? Ianya telah naik RM235 kepada RM1,575 sebulan. Ini juga bermakna separuh pekerja di negara kita ini bergaji kurang dari RM 1,575 sebulan.  Tak ada ertinya pasaran modal naik, atau ekonomi naik 50% jika rakyat masih bergaji rendah.

Kelima: Jumlah pengangur juga naik. Pada tahun 2010, jumlah penganggur adalah 387,900 orang. Ianya telah meningkat kepada 510,000 pada bulan Januari tahun ini.  Masih nak berbangga 1.8 juta peluang pekerjaan wujud? Untuk siapa? Sektor mana? Tahun lepas sahaja, jumlah penganguran naik 11%.

Keenam : Najib berkata nilai ringgit paling tinggi di Asia tahun ini. Beliau memang putar belit. Adakah beliau menjadi Perdana Menteri sejak awal tahun ini? Tidak. Kalau kita lihat pencapaian ringgit sejak 2010, ianya telah menyusut hampir 20 peratus, antara yang terburuk di rantau ini!

Ketujuh : khas untuk kaum Melayu, sejak beliau menjadi Perdana Menteri, pegangan efektif melayu dalam sektor korporat hanya naik 0.7%!, dari 16.1% pada tahun 2010 kepada 16.8% pada tahun 2014. Jumlah doktor melayu jatuh pada masa yang sama, sebanyak 2%.  Jurang pendapatan di anatar kaum Melayu dan kaum Cina langsung tidak berubah sejak Najib menjdi Perdana Menteri. Malah, jurang di antara kaum melayu dan India makin naik. 

Terakhir : 1MDB, SRC, RM2.6 billion. Tak perlu dihuraikan disini. Akhlak yang buruk dan hina.

Pelan ekonomi beliau berjaya kah?
'Asas ekonomi Malaysia mampan' kah?

Memang Najib Razak adalah Perdana Menteri terburuk dalam sejarah Malaysia. 





Wednesday, March 30, 2016

Econs 101 for Minister of Finance Najib Razak

One would hope that the minister running the finance ministry knows a little finance. Unfortunately,  this does not seems to be the case.

Few days ago, BERNAMA quotes the Minister of Finance cum the Prime Minister saying the following :


"Without the GST, the Pan Borneo Highway could not have been implemented, not possible for this Jalan Kapit-Song-Kanowit to be carried out......it is not enough to bring development especially to the rural areas" . Link here



This is wrong. There are two reasons why we think the Minister of Finance needs to take Malaysia Econs 101. 


First, any student of Malaysian Economy knows that all monies and revenue raised goes into the Consolidated Fund. In fact, this is as per Article 97 of our constitution. We do not have separate account for GST, or from oil revenue, nor for any other sources of income, of which can be used to pay stuff or build things.  All income collected goes into ONE single fund. Which means we do not know if the  GST collected is used to finance the Jalan Kapit-Song-Kanowit, or it is financed by oil mone, or even from tax collected from gaming companies. 


Second, development expenditure in Malaysia is not financed by the revenue collected, but rather via borrowing. We have only enough money to pay for operational expenses such as emoluments, debt service charges, grants and transfers to state governments, etc, but not enough for building road, schools, etc. The Minister misled us, we have to borrow money to build the Pan Borneo highway. It is not financed by GST.



Maybe the Minister should go back to university to finish his studies, or simply let serious person runs the ministry. That shall spare us for reading silly stuff uttered by the most incompetent Minister of Finance in the history of Malaysia.


He must be mindful of what he says. So far, he is not helping to boost confidence among the rakyat. Evidence: consumer sentiment is at all-time low! 




Sunday, March 20, 2016

Ada ulama kita bersekongkol dengan pemerintah menghalalkan mencuri dan menipu?

Minggu lalu, kami menunaikan Solat Jumaat di salah sebuah masjid berdekatan dengan hospital. Selalunya kami ke ISTAC, kerana khutbahnya progresif, menawan, dan dibaca tanpa teks. Tetapi oleh kerana ada beberapa kes kecemasan, nampak gaya kami sekali lagi berkunjung ke Masjid Bangsar. Maka dua minggu berturut-turutlah kami disajikan dengan khutbah Jumaat berteks.



Dan untuk kali yang kedua juga kami terkejut. Khutbah kali ini tidak banyak berbeza dengan yang lepas, di mana Jemaah diseru supaya mentaati pemimpin negara secara total.

Apakah ulangan tema ini adalah kerana sebilangan besar jemaah solat Jumaat dua minggu lalu belum merasa insaf dengan khutbah bertajuk ‘Ujian Sebuah Kesetiaan’ karangan ustaz-ustaz JAKIM yang syumul?

Mungkin jawapannya tidak, kerana khutbah yang berbunyi hampir sama sekali lagi dilaungkan di beberapa masjid di seluruh Wilayah Jumaat lepas.

Dengan mengutip ayat Al-Quran di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59, jemaah diseru sekali lagi untuk mentaati pucuk pimpinan negara:

Biarlah kami petik sebahagian dari khubah tersebut untuk makluman pembaca.

Seperti contoh, kita diingatkan bahawa “Mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam (Ulil Amri) merupakan salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, mereka wajib melaksanakan amanah menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara demi menjaga urusan agama dan dunia.”

Para ulamak yang warak dan yang sepatutnya setia berpegang kepada kebenaran juga menyeru umat Islam di negara ini agar berlaku adil kepada Ulil Amri dengan menurut perintah mereka samada kita suka atau tidak:
Kami petik lagi pesanan mereka: “Sebenarnya rakyat pun ada tanggungjawabnya terhadap pemerintah. Sebagaimana rakyat berhak mendapat keadilan dari pemerintah, pemerintah juga berhak mendapat keadilan dari rakyatnya. Oleh itu, sebagai rakyat kita wajib memahami tanggungjawab dan menghormati mereka, bahkan menyokong apa yang telah dirancang.”

Yang paling memeranjatkan apabila mesej diatas diakhiri dengan ugutan berikut:

Tuntasnya, sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah SWT akan memuliakannya pada hari kiamat, manakala mereka yang tidak memuliakannya, maka Allah SWT akan menghinanya pada hari kiamat kelak.”

Walau pun kami sebagai makmum merasa insaf dan kini ingin membeli secara pukal baju-T dengan kata-kata I LOVE PM, kami juga kesal kerana khutbah hari dua minggu ini terlalu pendek dan tertinggal menyatakan beberapa hal-hal pokok tentang sosok pemimpin yang wajib ditaati.

Contohnya, jika Ulil Amri di Malaysia ini terlibat dengan fasad iaitu tidak jujur, menyalahguna kuasa, pecah amanah, atau lebih parah lagi mengambil atau memberi rasuah, apakah rakyat masih wajar memuliakan mereka?

Kami yakin Majlis Agama Islam Wilayah di bawah JAKIM dan Menteri Jamil Khir ingin mengupas lebih lanjut jika khutbah dipanjangkan demi memupuk kefahaman Islam sebenar di jiwa dan minda umatnya di Malaysia.

Pastinya para ulamak JAKIM sebenarnya ingin memetik Surah Al-Anfal ayat 27 yang dengan tegas mengecam individu Islam yang pecah amanah sebagai mengkhianati Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Malah ulama-ulama yang diamanahkan Allah sebagai penjaga syiar Islam juga sebenarnya ingin mengatakan bahawa, tak kira samada seseorang itu pemimpin atau rakyat, Islam dan undang-undang Syariah tidak bertolak ansur dengan kesalahan moral seperti rasuah, seperti yang ditegaskan di dalam Surah Al-Baqarah , Ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Sebagai contoh Ulil Amri yang tidak wajar ditaati kerana berlaku zalim, JAKIM juga sebenarnya ingin berkongsi Ayat 4 dari Surah Al-Qasas yang berbunyi:

“Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.”

Akhir sekali, JAKIM juga ingin mengatakan bahawa bapa yang mulia tidak menjanjikan anaknya akan turut mulia dan dimuliakan. Pedoman Al-Quran adalah jelas, doa Nabi Ibrahim agar Allah memuliakan keturunannya sebagai Imam atau pemimpin juga hanya diterima dengan bersyarat, iaitu sekiranya si anak tidak melakukan kezaliman seperti mana firman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 124:

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

Kalaulah ayat-ayat Quran di atas dengan ikhlas dapat dikongsi di dalam teks khutbah, nescaya baju-T dengan slogan I LOVE PM akan menjadi satu fenomena ‘terlajak laris’.

Tetapi hakikatnya ia tidak dikongsi. Inilah bencananya apabila agama dijual beli. Mereka yang sepatutnya menegakkan kebenaran bukan hanya berdiam diri, tetapi secara tidak langsung bersekongkol dengan pemerintah yang zalim. Mereka ini bukan saja merosakkan kesucian ajaran Islam malah mendorong umat untuk tersungkur di pintu syurga.

Di mana amaran keras para ulamak negara ketika negara dilanda krisis kepimpinan yang amat kronik?

Di mana suara lantang al-fadzil al-ustaz apabila pemimpin mencuri dan menipu?

Di mana tok-tok guru apabila Tabung Haji tidak diurus dengan cermat sehingga mejejaskan simpanan orang kampung, para nelayan dan pesawah miskin?

Di mana sindiran pedas pendakwah-pendakwah selebriti apabila pemegang amanah wang anak yatim pergi berjoli serata dunia dengan mewahnya dan membeli peralatan golf?

Bertaubatlah, sebelum terlambat.


Wallahualam.

Wednesday, March 16, 2016

Untuk siapakah negara Malaysia ini?

Berikut adalah penulisan berani dari salah seorang pembaca blog ini yang bernama Syeikh Awang Belanga . Artikel ini telah di kongsi bersama salah seorang editor kanan akhbar berbahasa Melayu. Walapun beliau ingin menyiarkannya, namun disebabkan 'suasana media yang diperhatikan setiap gerak-geri seperti sekarang', artikel ini tidak dapat beliau siarkan. Napoleon sebenarnya silap, pena tidak lagi lebih berkuasa dari bayonet, setidak-tidaknya di negara kita ini.



Tradisi menyalahguna kuasa politik untuk kepentingan peribadi bukanlah fenomena baru. Para cerdik-pandai dan agamawan sejak sekian lama telah membahaskan tentang peri-pentingnya membenteras gejala rasuah sebelum ianya mematahkan semua sendi-sendi dalam proses membina negara untuk  kesejahteraan rakyat. Namun, rasuah dan salahguna kuasa sehingga kini kekal menjadi barah yang membunuh setiap sel demokrasi dan akhirnya membinasakan negara.

Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan skandal rasuah semakin menjadi-jadi di seluruh pelusuk dunia. Rentetan dari kecenderungan ini, momentum mendedahkan dan membawa koruptor ke muka pengadilan kini bergerak cergas di pelbagai negara. 

Contohnya Petrobas, sebuah syarikat petroleum gergasi milik Brazil kini menanggung beban hutang korporat terbesar di dunia kerana dicemari rasuah. Beberapa eksekutif syarikat dan ahli politik berprofil tinggi termasuk Presiden Dilma Roussef yang telah disoal-siasat agensi anti-rasuah dalam mengenalpasti punca kegagalan syarikat yang dikaitkan dengan gejala makan suap yang parah. 
Malah bekas Presiden Luiz Inacio Lula da Silva juga ditahan.

Populariti Presiden Mexico Enrique Pena Nieto pula merudum apabila berdepan penyiasatan pihak berkuasa anti-rasuah gara-gara meluluskan beberapa kontrak besar negaranya kepada syarikat dengan terma dan syarat yang mencurigakan. 

Dalam beberapa kes lain, siasatan badan-badan pencegah rasuah telah memaksa Presiden Otto Perez Molina dari Guatemala meletakkan jawatan. Di Eropah, nasib yang sama menimpa Perdana Menteri Romania Victor Ponta apabila dibicarakan atas pertuduhan mengelak dari membayar cukai dan terlibat dengan jenayah pencucian wang atau money-laundering.

Dunia kini memerhatikan gerakan pembenterasan rasuah di Cina dengan diterajui Presiden Xi Jianping yang menggoncang sistem politik negara sosialis berpenduduk 1.38 bilion ini hingga ke akarnya. Sasaran utama perang anti-rasuah ini tidak lain adalah bekas elit keselamatan negara China merangkap ahli Politburo parti iaitu Zhou Yongkang beserta juak-juaknya yang berpengaruh 

Bagi rakyat Brazil, Mexico, Guatemala, Romania dan China, mereka bernasib baik kerana masih mempunyai saluran, ruang dan mekanisme pengawasan untuk memastikan ketidakadilan dan ketirisan ekonomi dihentikan, dan dalang-dalangnya diheret ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman setimpal. Malah rejim zionis Israel yang terkenal zalim juga menghumban mantan Perdana Menteri Ehud Olmert ke penjara apabila didapati bersalah mengambil rasuah semasa beliau menjadi Datuk Bandar. 

Justeru, elit politik dan perniagaaan mutakhir ini terpaksa lebih berhati-hati dalam menjalankan amanah yang diberi kerana tindak-tanduk mereka sering diperhatikan.

Malangnya, Malaysia kini mengharungi detik-detik cemas sejarahnya apabila dilanda darurat rasuah. Berdepan dengan krisis rasuah mega,  rakyatnya kini lumpuh apabila hampir segala wilayah kekuasaan meliputi institusi perundangan, urustadbir, agama dan media rasmi memihak kepada penggelap 

Asakan demi asakan ke atas kebebasan rakyat dilakukan bertujuan menutup pekung individu paling berkuasa di Malaysia. Mereka yang mempertanyakan kebenaran dilucutkan jawatan. Media yang melaporkan salahlaku syarikat ‘sovereign debt fund’ negara  pula didakwa manakala pelbagai wahana media sosial disekat aksesnya. 

Akal sihat juga diremehkan apabila suatu aktiviti demokratik seperti membuat laporan di balai polis disamakan dengan kesalahan pengganas. Akibatnya para pelapor ditahan dibawah Akta SOSMA dengan kejamnya selama 28 hari tanpa pertuduhan. 

Terkini, di bawah semakan Akta Rahsia Rasmi, wartawan dan peniup wisel jenayah penyelewengan bakal dikenakan hukuman penjara seumur hidup beserta sebatan. 

Malah salah seorang menteri yang telah mati hati-nuraninya telah dengan angkuh mengatakan rakyat yang menuntut keadilan boleh terus menyalak seperti anjing tanpa ada sesuatu apa pun yang akan menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri.

Bandingkan pentadbiran kuku besi ini dengan realiti kehidupan elit-elit politik dan tali-barut mereka. Segelintir mereka dan keluarga bersenang-lenang dengan kekayaan melimpah-ruah dan gaya hidup yang tidak keterlaluan dikatakan lucah dan tidak setimpal dengan pendapatan bulanan mereka. Jauh sekali dari dihukum di muka pengadilan, mereka yang makan suap dengan jumlah jutaan dan bilion Ringgit malah disucikan oleh pengikut mereka persis para nabi yang maksum.

Apa yang telah terjadi kepada integriti dan akidah kita?

Perkembangan di atas menuntut pelbagai pertanyaan tentang dasar penegakan keadilan. 

Untuk siapakah negara Malaysia ini? 

Adakah undang-undang hanya bertujuan melindungi golongan elit pemerintah yang keberadaannya tak lain adalah kerana diamanahkan oleh rakyat melalui cukai-cukai pendapatan dan GST untuk mentadbir negara? 

Tahukah anda jumlah RM2.6 bilion boleh membiaya sepenuhnya 325,000 pelajar sepanjang pengajian mereka di universiti-universiti tempatan? Ianya juga cukup besar untuk membayar subsidi bulanan nelayan selama 9 tahun! Pertanyaan-pertanyaan ini adalah hak asasi rakyat yang merdeka. 

Justeru usahlah ianya disalah tafsir sebagai mempunyai rencana anarkis. Lihatlah sahaja bagaimana malapetaka kesan pengkhianatan amanah dari rakyat kian hari menjadi kian jelas. 

Amat menyedihkan apabila negara tumpah darah kita kini menjadi bahan sindiran akhbar-akhbar di seluruh dunia. Tidak pernah dalam sejarah Malaysia terpalit skandal kewangan sebegini parah dan memalukan. Matawang Ringgit Malaysia teruk terkena tempias persepsi negatif ini. Jika anda berkunjung ke Selatan Thailand, jangan terkejut jika penggurup wang tidak lagi sanggup menerima Ringgit yang mereka anggap tidak stabil nilainya dan berisiko tinggi. 

Di Dubai pula, rakyat terpaksa membawa gold bar kerana Ringgit sudah tidak laku. 

Demikianlah musnahnya maruah negara yang telah susah payah kita bina nersama sejak 59 tahun yang lalu.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia, membebaskan negara daripada belenggu rasuah kronik dan kejahatan politik menjadi tanggungjawab kita bersama. Jika parti memerintah tidak menggantikan Presiden dan kuncu-kuncunya yang mendokong beliau dalam masa terdekat dikhuatiri lebih banyak lagi bencana ekonomi, sosial dan politik yang bakal menyusul dan menjahanamkan negara. 

Sekiranya parti ini dan 3 juta ahlinya tidak berdaya merubah kepimpinannya kerana rasuah telah membudaya, 27 juta lagi rakyat negara ini harus mencari jalan keluar lain. 

Jangan nanti anak dan cucu kita hidup bangsat lalu meludah di pusara kita kerana dayus dan takut kepada pemimpin munafik yang mencuri kekayaan negara.

Sebagai langkah permulaan, marilah kita sama-sama menandatangani Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan gabungan 58 ahli politik dan aktivis ternama negara.
[boleh mentandatangani deklarasi rakyat di sini ]

Mesej jelas harus disampaikan kepada Majlis Raja-Raja bahawa rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat menolak sekeras-kerasnya budaya korupsi dan salah guna kuasa eksekutif di negara Malaysia tercinta ini.

Akhir kalam, kepada rakyat yang memegang kalimah Syahadah, sandarkanlah iman kembali kepada Allah sebagai pelindung semesta dan abadi. Ingatlah, Al-Quran secara jelas mengecam perbuatan rasuah dengan menempatkannya setara dengan kebatilan lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Pelakunya dan mereka yang bersekongkol pula dijanjikan balasan api neraka di akhirat kelak dan dihinakan kehidupan mereka di dunia yang fana. 

Nauzubillah!

Monday, March 14, 2016

Najib tidak keseorangan

Najib tidak akan keseorangan apabila keadilan bakal ditegakkan kelak.

Beliau tidak akan bersendirian menerima akibat perbuatan khianat terhadap negara dan rakyat Malaysia. Akan ada mereka yang beliau akan heretkan sekali.

Ramai akan dihadapkan  ke muka pengadilan nanti. Tidak ada seorang pun yang akan terlepas.

Kami petik dari blog Datuk Kadir Jasin:

Tetapi yang bersalah bersekongkol dan bersubahat dengan Mohd Najib akan menanggung padahnya.

Mereka ini termasuklah anggota Kabinet, ahli Majlis Tertinggi Umno, ketua-ketua bahagian Umno dan kakitangan awam pangkat tinggi macam Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Gabenor Bank Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan dan ahli lembaga pengarah eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang terlibat dengan 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Mohd Najib dan kebocoran RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Secara perseorangan atau berkumpulan mereka akan disiasat dan jika ada bukti akan dituduh di mahkamah. Yang akan menerima padah paling buruk adalah kakitangan awam dan eksekutif GLC dan (GLIC).


Boleh baca blog beliau sini.

Nah, terang lagi bersuluh mereka yang akan dihukum kelak.

Kami tidak hairan akan sikap pemimpin UMNO yang masih lagi dengan penuh semangat mempertahankan benang yang basah. Walaupun telah di tipu bulat-bulat oleh ketua mereka, sokongan mereka masih kuat. Kerana apa? Jawapannya mudah : hanya kerana wang dan pangkat.

Cuba lihat video dibawah ini dimana penerima wang derma ini tidak mengaku terdapat hampir RM2.6 bil di dalam account peribadi beliau.



Namum masih ada 'mangkuk hayun' bak kata orang utara yang masih berpegah teguh pada kata-kata presiden parti ini.

Tetapi sampai bila hendak bertahan? Satu bulan ? satu tahun? satu pilihanraya? Sampai bila hendak hidup dalam ketakutan?Tunggulah nanti hukumannya. Ramai akan menerima akibatnya.

Yang pasti, wajah-wajah dibawah ini adalah golongan pertama yang akan menerima 'habuannya'.

Tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas.

1. Jemaah Kabinet, termasuklah yang ada lulusan Oxbridge. Sayang sekali, otak ada tetapi akhlak tiada. Jiwa kosong.



2. Hampir kesemua ahli Majlis Tertinggi. Mereka ini kebanyakan memang tiada otak.



3. Tidak lupa jua penjawat awam yang bersongkol. Walaupun mereka ini kaya raya dan berpangkat besar, tetapi akhlak dan jiwa mereka amat miskin sekali. Tidakkah mereka malu kepada diri sendiri? Malu kepada kepada masyarakat? Malu kepada keluarga? Malu kepada sahabat handai?






























Kepada mereka ini, usahlah lagi menegakkan benang yang basah. It's game over.

Persoalanya bukan lagi adakah mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan, tetapi apakah hukuman yang akan diterimanya nanti.

Tetapi, yang amat dikesalkan, adalah mereka yang tahu akan segala kebenaran, tetapi masih diam membisu.

Apa lagi yang hendak ditunggu?

Ini termasuk headhoncho MACC, BNM dan juga bekas Peguam Negara, Mereka tahu segalanya, tetapi mulut masih terkunci.



Image result for who knows the truth about 1MDB



Apabila segalanya berakhir, yang akan nampak bodoh dan bengap adalah mereka yang bermati-matian mempertahankan presiden party. Ini termasuk semua ahli Kabinet dan pemimpin UMNO yang wajah mereka kita pampangkan di atas. Tiada siapa pun yang akan terkecuali. Ketua bahagian pun sama (gambar di bawah).

Semua akan dicap bodoh sombong.

Sejarah akan menghina mereka.




Akhir kalam, jangan lupa untuk mentandatangani deklarasi rakyat. Link di sini









Friday, March 11, 2016

Timbalan Menteri Buat Hal Lagi



Kenapa pemimpin sekarang amat bodoh sekali kebelakangan ini?

Terbaru, timbalan menteri Pengangkutan yang juga merangkap ahli Parlimen dan Ketua Bahagian UMNO Sri Gading dengan lantangnya mahukan Tun Mahathir di pecat dari GLC kerajaan.


"Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Abdul Aziz Kaprawi menggesa lantikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik.
Ini, kata timbalan menteri pengangkutan itu, termasuk kemudahan elaun diterimanya, susulan mengetuai deklarasi menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama pemimpim pembangkang baru-baru ini
“Jadi, segala lantikan GLC seperti di Petronas, Proton, Yayasan Kepimpinan Perdana dan lain-lain yang membolehkan Tun M mendapat elaun serta kemudahan perlu ditarik balik,” tegas Aziz kepada Malaysiakini 

link di sini

Tetapi kenapa kamu bodoh sangat? Proton bukannya GLC, ianya tidak dimiliki oleh Kerajaan. Bukkanya milik EPF ataupun KWAP ataupun Kementerian Kewangan. Ianya syarikat persendirian, milik penuh DRB-Hicom yang di kuasai oleh TS Syed Mokhtar.

Sejak bila PROTON tidak lagi jadi GLC? Adakah ini perkembangan terbaru? Mungkin timbalan menteri ini terlepas pandang?

Tidak sama sekali. DRB-Hicom membeli saham Proton dari Khazanah Nasional Berhad  hampir EMPAT tahun yang lalu, pada January 2012. 

Lain kali get your facts right. Baca la. Jangan tunjuk pandai dan bengis tapi sebenarnya bodoh .Ini lah taraf pak Menteri di negara kita sekarang.

In case pembaca tidak tahu yang mana satu Timbalan menteri yang 'genius' ini, inilah wajah beliau.




Tapi sebenarnya kita tak patut terkejut pun. Pak Menteri ini tahun lepas juga ada membuat kenyataan bodoh. 





Kami ingin memberi sedikit nasihat kepada Pak menteri, dan juga kawan-kawan beliau di UMNO dan kabinet. nasihat percuma. Mungkin elok dengar kata Mark Twain.




Wednesday, March 9, 2016

Penjara 81 juta hari kerana mencuri

Minggu lepas, seorang ibu dipenjara satu hari dan didenda RM200 kerana mencuri 2kg packet Milo

Bernama memberitahu kita sebab wanita ini terpaksa mencuri :

 "Maafkan saya Puan Majistret. Saya mencuri Milo itu kerana anak saya yang berumur dua tahun terlalu teringin minum Milo," katanya dalam keadaan sebak semasa memohon hukuman diringankan"  link di sini

Inilah realitinya. Kesempitan hidup sehingga memaksa beliau mecuri kerana tidak mampu membeli milo berharga $32.

Nasib baik ada mereka yang perihatin yang membayar denda tersebut agar beliau tidak dipisahkan dengan anak kecil tersebut.  read here

Jika mencuri RM32 dipenjara satu hari, bagaimana pula kalau mencuri berjuta-juta? ataupun mencuri berbilion-bilion? Tambahan pula mencuri bukan kerana kesempitan hidup, tetapi kerana niat yang jahat sekali.

Contohnya, berapa tahun hukuman penjara sekiranya seseorang itu mencuri RM2.6 billion?

Jika berdasarkan curi RM32 dipenjara satu hari, maka hukuman mencuri RM 2.6 billion adalah bersamaan tenpoh di penjara selama 81,250,000 hari.

Dalam erti kata lain, ini bersamaan dipenjara selama  222,603 tahun!

Tapi bukan hanya si pencuri yang harus di penjara, tetapi yang bersongkol dan bersubahat juga harus disumbat sekali.

Do they deserve it? Definitely.