Saturday, April 1, 2017

Datuk yang telah Hilang Seri

Catur Najib Razak yang Tak Menjadi

Najib Razak kini seorang Datuk yang telah Hilang Seri. 

Di mata dunia, ia telah diperbudakkan oleh Kim Jong-un, si gila yang memimpin Korea Utara. Hanya bulan lalu, dengan nada membuli Presiden Kim, ia memukul genderang perang diplomatik dengan lagak seorang perwira Bugis. Hari ini beliau berfoto selfie dengan superstar Tamil si Rajinikanth 3,081 km dari Putrajaya. Ia ingin dilihat seorang adiwira seperti hero filem Kabbali ini. 

Sedih.

Image result for najib rajinikanth



Image result for rajinikanth kabali
The Hero

Hakikatnya – Najib gagal. Dia gagal memimpin, dia hanya mampu memegang kuasa. Pemimpin hebat ialah pemimpin yang ‘hadir dan mengalir’ – sentiasa bersama rakyat dan jasanya mengalir seperti sungai yang tak pernah kering. Malang sungguh nasib rakyat. Najib tidak pernah hadir. Yang mengalir hanyalah duit rakyat – ya, wang saudara dan saudari – ke dalam dompet beliau dan beg tangan Berkin isterinya.

Ini bukan kali pertama Najib lari dari masalah negara. Ketika Lahad Datu diserang 500 ‘tentera’ Kesultanan Sulu, Najib menghilang. Apabila negara dilanda banjir besar pada 24 Disember 2014, Najib memukul bola golf di Amerika. Ketika 1000 delegasi dari 130 negara bersidang untuk membincangkan ketelusan dan rasuah, Najib tidak mengotakan janjinya untuk memberi ucaptama. Beliau hilang dalam kabut 1MDB. Tatkala pesawat-pesawat MAS hilang dan terhempas, Najib hanya menghantar soldadunya untuk menguruskan krisis. 

Rakyat menderita, maruah negara yang kita cintai seolah diconteng arang.

Krisis Lahad Datu hanya mula diambil serius pentadbiran Najib dua minggu setelah ianya mengancam penduduk Sabah. Itupun Hishammudin Hussein angkuh. Ia memperkecilkan tentera Sulu yang katanya tua renta, tidak cukup zat dan hanya mampu berselipar Jepun. 
Oleh itu tidak mungkin mereka mengancam keselamatan negara. Sepupu Najib akhirnya akur setelah 7 rakyat Sabah terbunuh. Rupa-rupanya pakcik-pakcik tua dari Mindanao melanggar Lahad Datu dengan bersenjatakan pelancar grenade dan M16, bukannya sekadar melancong dengan berkain-pelikat seperti sangkaan Najib.

Dengan Najib sebagai kepala negara, tidak hairanlah negara dibarisi oleh pemimpin ‘pongah’ yang besar pasak dari tiang.

Apabila Kim Jong-nam dibunuh di KLIA2, Ketua Polis Negara mengenalpasti beliau sebagai rakyat Korea Selatan dan menghubungi kedutaan itu. Pentabiran Seoul kemudian memaklumkan Kuala Lumpur si mati sebenarnya dari Korea Utara. Rupa-rupanya pengetahuan geografi IGP Khalid amat terhad. Kalaulah beliau lebih menumpukan perhatian sewaktu di sekolah menengah dulu, beliau pasti tahu bahawa Democratic People’s Republic of Korea ertinya Korea Utara. Nama formal Korea Selatan ialah Republic of Korea. Mampukah pasukan polis kita menguasai dunia risikan strategik jika nama-nama negara pun tidak mampu di Google?

Cukup pintarkah pentadbiran Najib dalam percaturan geopolitik dunia?


Kekeliruan Malaysia kemudian dijadikan bahan ejekan agensi berita Reuters. Tak hairanlah bagaimana berita pembunuhan ini dimulakan oleh media Korea Selatan di saat IGP Khalid masih tertanya-tanya identiti si mati. Susulan pembunuhan Kim Jong-nam pada 13 Februari, pentadbiran Pyongyang menuntut jenazah beliau diserahkan kepada kedutaan tanpa bedah-siasat. 

Tapi Najib fikir krisis ini boleh melonjakkan popularitinya menjelang Pilihanraya Umum Ke-14. Mugkin ini juga bakal memadamkan cerita 1MDB dari akhbar-akhbar utama dunia. Membuli Korea Utara juga dilihat peluang untuk mempesona Donald Trump yang Najib Razak adalah pemimpin urat dawai tulang besi.

Lalu duta Kang Chol ditendang keluar dari Kuala Lumpur. Malaysia bertegas mayat Jong-nam hanya akan diserah kepada keluarganya. IGP Khalid pula berteriak yang polis sanggup menunggu lima tahun jika perlu bagi menunggu untuk menahan mereka yang disyaki membunuh Jong-nam yang bersembunyi di kedutaan Korea Utara di KL. Udara kotaraya dipenuhi nafas patriotisme yang keluar dari paru-paru IGP Khalid. 

Malaysia Boleh!

Namun, ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Ya, tindakan keras Najib dibalas lebih keras oleh Korea Utara. Sebelas rakyat Malaysia dijadikan tebusan oleh Pyongyang. Seperti cacing kepanasan, Najib bergegas pulang dari lawatannya ke Jakarta untuk mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara. Untuk memulangkan paku buah keras, Najib mengarahkan rakyat Korea Utara juga dilarang meninggalkan Malaysia.

Beliau kemudiannya menelefon rakan Korea Utara iaitu Presiden China Xi Jinpeng untuk bantuan. Najib telah diberi syarahan oleh Presiden Xi, jangan bermain api dengan Korea Utara. Kekuatan peluru berpandu dan senjata nuklear Korea Utara digeruni bukan hanya jiran-jirannya termasuk China, ianya juga mimpi ngeri Amerika. Justeru, Najib dinasihatkan agar memulangkan mayat Jong-nam kepada adik dirinya itu dan membebaskan ‘suspek’ rakyat Korea Utara untuk pulang ke Pyongyang.

Hari ini rundingan dua negara telah selesai. Pahlawan Bugis akur dengan tuntutan Kim si gemuk Pyongyang. Malaysia menyerahkan mayat Jong-nam dan ketiga-tiga yang disyaki membunuh ia juga dibenar pulang ke negara mereka. Sebagai tukarannya, kesembilan rakyat Malaysia disambut di KLIA oleh Anifah Aman. Najib menyerah kalah, semua tuntutan Kim Jong-un terpaksa beliau penuhi.

Apa kata IGP Khalid?

Beliau berpuashati dengan kerjasama Hyon Kwang Song (setiausaha kedua kedutaan Korea Utara), Kim Uk Il (kakitangan North Korean Airline) dan Ri Ji U (dikenali sebagai James…mungkinkah James Bond Korea Utara?). Dan kerana itulah mereka telah dibebaskan. Kenapa dipulangkan mayat kepada Korea Utara setelah selama ini kita berkeras menahannya kerana dipercayai diracun dengan senjata kimia VX yang diharamkan dunia? Kerana Kim Jong-un juga ahli keluarga Jong-nam? Jika benar, kenapa tidak dipulangkan lebih awal lagi? 

Shhh…jangan tanya, melainkan anda mahu menggugat demokrasi berparlimen?

Pertanyaan utama krisis Malaysia-Korea Utara ini masih mencegat kewarasan rakyat Malaysia malah seluruh dunia. Siapakah dalang di sebalik pembunuhan berprofil tinggi ini? Jika ianya Korea Utara, Najib Razak telah melakar satu lagi sejarah pahlawan Bugis dengan membebaskan semua suspek kes pembunuhan ini. Tidak seorangpun dari rakyat Korea Utara yang disyaki didakwa di mahkamah. Hanya dua wanita dari Vietnam dan Indonesia yang dipertanggungjawabkan.


Dan di manakah Najib Razak? Oh ya, beliau di rumah Rajinikanth pelakon Kabbali, 3,081km dari Putrajaya. 

Betul jugak



Beliau tidak pernah hadir untuk kita 31 juta penduduk Malaysia. Najib Razak ialah seorang Datuk yang pudar Serinya. 

Masanya telah tiba untuk Malaysia dipimpin negarawan yang layak dan bermaruah. 

Siapa? Tepuk dada tanyalah selera. 

Yang pasti, Najib Razak bukanlah orangnya.

Nota: tulisan ini adalah terjemahan liberal dari satu article di blog financetwitter (link here )

No comments:

Post a Comment